PENDIDIKAN

Kecemerlangan pendidikan telah menjadi agenda utama kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Dato Seri Utama Mohamad Hasan sepanjang penggal nya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, sesuai dengan harapan menjadikan negeri itu sebagai ‘Lembah Ilmu’ dan nadi mengeluarkan modal insan keperluan negara. 
Perkara ini dinyatakan dalam banyak ucapannya yang antara lain mahu melihat benih kecil yang disemai di peringkat prasekolah menjadi pohon kukuh apabila insan berkenaan menduduki dan menamatkan pengajian di peringkat universiti. 
”Semua itu kita perlu tunjukkan kepada anak-anak kecil agar mereka boleh membuat imbasan dan mengingati bangunan universiti dan kolej, pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang melata di negeri ini. 
”Apabila mereka balik ke rumah kelak, akan wujud satu azam dalam diri mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan memasuki pusat pengajian berkenaan, sekali gus mencapai sasaran kerajaan negeri untuk menjadi penyumbang besar modal insan negara pada masa hadapan”. 
Banyak usaha telah dilakukan untuk melebarkan jajahan ‘Lembah Ilmu’ termasuklah menyediakan jajaran jalan yang sempurna, selain melakukan pemasaran pendidikan bagi menjadikan kawasan Nilai, Sendayan, Enstek, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah sebagai zon pendidikan. 
Sebab itulah, pembinaan kampus di negeri ini memperlihatkan daya usaha tinggi sepanjang tahun ini untuk mewujudkan zon pendidikan bertaraf dunia.